Tuesday, September 24, 2013

Perkongsian Psikologi.....

Assalamualaikum...

Bismilahirahmanirahim....




Pengenalan

Murid-murid sekolah rendah merupakan jentera utama  dalam kelangsungan  bangsa madani  untuk memajukan negara menjelang Wawasan 2020. Walau bagaimanapun, wujudnya jurang pemisah dalam membangunkan generasi muda untuk keseimbangan potensi individu.
Pemahaman membaca dapat dikategorikan kepada beberapa peringkat iaitu pada aras mudah, sederhana sehinggalah kepada aras yang lebih tinggi. Kenyataan ini disokong oleh Dechant (1981), Ismail Zakaria et al. (1992) dan Safi’ah Osman (1990) yang menekankan bahawa murid-murid seharusnya menguasai pemahaman membaca pada peringkat yang paling asas sebelum didedahkan kepada peringkat bacaan pada aras yang lebih tinggi. Banyak kajian yang dijalankan membuktikan bahawa murid-murid yang bermasalah dalam kemahiran membaca dan memahami biasanya akan turut bermasalah dalam bidang akademik. Mereka sering dilabelkan sebagai murid- murid yang gagal untuk menyediakan otak mereka dalam menguasai prinsip asas abjad untuk menjadi seorang pembaca yang mahir (Roshotte & Torgeson 1985).
Pernyataan tersebut memberi input kepada kita bahawa kesukaran membaca dalam kalangan murid-murid adalah berpunca daripada kegagalan guru dalam mengaplikasikan amalan dan strategi membaca secara sistematik dan efektif. Dilihat daripada aspek psikolinguistik, membaca dan memahami akan melibatkan proses mencipta dan meneliti serta menggarap kemampuan mental untuk mencantumkan idea utama dan pada waktu yang sama juga melakukan banyak pertimbangan terhadap sesuatu informasi itu sama ada betul atau sebaliknya (Ismail Zakaria et al. :1992).

Oleh itu, penekanan dalam konsep kepelbagaian kecerdasan serta perbezaan individu murid menjadikan pendidikan pemulihan sebagai alternatif dalam membantu mereka agar berjaya mencapai matlamat kehidupan dan kejayaan sistem pendidikan di negara ini. Sehubungan itu, pemulihan merupakan satu pendekatan yang berbeza daripada kelas biasa dalam sistem persekolahan kebangsaan. Justeru itu, pendidikan pemulihan digunakan untuk memulihkan sesuatu kekurangan atau sesuatu kecacatan dalam membentuk kemahiran pembelajaran murid. Permasalahan murid-murid lembap amat merisaukan bukan sahaja ibu bapa malahan juga masyarakat dan kerajaan.



Masalah pembelajaran secara terperinci
Murid ini merupakan murid yang menghadapi masalah dalam pembelajaran kerana gagal untuk semua subjek. Setelah dipantau masalah utama murid ini dia tidak mengenal huruf apatah lagi mengeja. Dia mula dihantar di kelas pemulihan pada tahun 2011 melalui markah ujian dignostik. Ujian ini telah dianjurkan bagi memastikan murid yang mempunyai masalah yang kritikal ini dapat dikesan.
Di samping itu, kemahiran menulis murid juga merupakan masalah utama di sini. Murid masih menulis huruf “c” terbalik. Melalui ini, kita dapati masalah murid ini sangat kritikal. Selain itu, hanya segelintir huruf sahaja yang mampu dikuasai murid. Dalam dua puluh enam huruf yang ada hanya sepuluh huruf yang mampu diingati murid. Antara hurufnya ialah “A b c d e f G H y Z”. Menurut Juriah Long, (1990) membaca didefinisikan kepada dua proses iaitu mengenal pasti simbol-simbol dan juga hubungan makna yang sesuai atau cocok dengan simbol-simbol tersebut.

Masalah mengeja murid juga kurang baik kerana murid masih berpandu pada perkataan yang diberi guru. Jika disuruh mengeja murid akan mengeja dengan betul berdasarkan perkataan yang diberikan tetapi sebutannya pasti berbeza. Sebagai contoh, perkataan “kotak” sebutan jadi “botak”. Otak murid masih menghadapi kekeliruan dalam menyebut perkataan yang dieja.
Manakala, bagi subjek matematik juga sukar untuk dipahami murid kerana dia tidak pandai mengeja. Apatah lagi hendak menyelesaikan masalah untuk subjek tersebut. Tambahan pula, bagi subjek matematik ayat yang digunakan lebih sukar untuk difahami. Walaubagaimana pun, bagi subjek seperti sains sukar juga difahami kerana perkataan yang terkandung dalam subjek tersebut pula lagi sukar.
Bagi subjek yang lain, juga mempunyai masalah yang sama. Tetapi bagi subjek ICT murid mampu menguasainya, kemahiran menggunakan computer murid agak baik kerana dia mampu menguasai permainan yang terdapat dalam computer dengan cekap. Manakala, penggunaan computer sebagai tujuan belajar murid tidak begitu mahir.

Faktor- faktor murid menghadapi masalah pembelajaran

1. Faktor Baka
Punca biologi merangkumi faktor faktor baka dan penyakit -penyakit yang menjejaskan fungsi otak dan urat saraf. Kekurangan oksigen sewaktu kelahiran ( asphyxia ), lembam lapisan otak (meningitis ) dan sawan yang berpanjangan boleh menyebabkan disfungsi urat saraf ( neurologi dysfunction ). Alfred binet, Theodore dan Guiford mempercayai kecerdasan adalah diwarisi dan tidak dapat dipertingkatkan melalui pengajaran (Borich&Tombari,1997).
 Berdasarkan masalah yang dihadapi murid didapati masalah ini berpunca dari baka kerana abang sulung murid juga menghadapi masalah yang sama. Abang sulung Mohd. Rafizh Zamani merupakan murid di kelas pemulihan khas kerana menghadapi masalah “speak delay”. Jadi melalui kes ini faktor baka memainkan peranan penting kerana Rafizh juga menghadapi masalah yang sama.

2. Faktor Persekitaran
Ini merupakan faktor kedua terpenting kerana persekitaran sedia ada yang dihadapi Rafizh memainkan peranan dalam melengkapi kehidupan seharian dia. Menurut Papalia,2001, persekitaran bermaksud individu dan objek ditemui serta peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seseorang yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan dirinya. Ini bermakna persekitaran merupakan perkara yang bukan genetic yang mempengaruhi seseorang individu. Persekitaran yang terdapat pada kes Rafizh ialah keluarganya seringkali berpindah randah menyebabkan tumbesaran kanak-kanak agak terganggu.
Selain itu, keadaan kelas Rafizh  iaitu kelas 3C Juga memainkan peranan penting di sini kerana kelas yang terlalu bising boleh mengganggu minda Rafizh untuk memproses data dengan pantas. Tinjauan literature atas hubungan persekitaran keluarga dengan pencapaian murid dibuat oleh beberapa kajian seperti Clark (1994) dan Fatanah (1997) menunjukkan bahawa persekitaran keluarga mempunyai hubungan dengan pencapaian murid.Berdasarkan pernyataan di atas, peranan persekitaran keluarga amat mempengaruhi prestasi pembelajaran kanak-kanak itu. Sekiranya ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka membaca buku maka mereka akan lebih terdorong untuk meminati dalam pelajaran dan begitulah sebaliknya.

3. Faktor Psikologi
Punca psikologi sering mewujudkan masalah pembelajaran. Pengaruh sekitaran yang tidak sihat , kurang rangsangan , kurang perhatian ibu bapa dan kemiskinan hidup akan menyebabkan kanak -kanak berkenaan mengalami masalah pembelajaran. Umumnya , unsur biologi berinteraksi dengan unsur psikososial. Oleh itu , setiap kanak -kanak yang menghadapi masalah ini perlu dirawat secara teliti dengan menggunakan pendekatan yang berasingan.Minat dan motivasi sangat berperanan dalam membina tabiat dan keupayaan membaca. Minat yang mendalam terhadap bahan bacaan memudahkan seseorang itu mengalami proses pembacaannya.
Faktor tidak minat membaca merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada wujudnya masalah membaca dalam kalangan murid. Hal ini dapat dilihat melalui sikap Rafizh itu sendiri dalam membentuk keminatan membaca ini. Dia sangat tidak sabar untuk balik pada hari Jumaat kerana hendak bermain.

4. Faktor Individu

Faktor individu berkait rapat dengan kecerdasan dan kebolehan membaca. Murid- murid yang mempunyai kecerdasan yang tinggi selalunya berpeluang memahami dengan cepat bahan bacaan yang dibaca berbanding murid yang lemah membaca. Dalam konteks ini, faktor individu ialah faktor yang berkaitan dengan kecerdasan murid lemah dalam pembelajaran. Kita dapati Rafizh memang seorang murid yang lemah membaca apatah lagi mengenali huruf. Menurut Juriah Long, (1990) membaca didefinisikan kepada dua proses iaitu mengenal pasti simbol-simbol dan juga hubungan makna yang sesuai atau cocok dengan simbol-simbol tersebut.


5. Kaedah Pengajaran Guru

Kanak -kanak hiperaktif mempunyai ciri -ciri tingkah laku seperti tumpuan perhatian yang singkat , sentiasa resah dan tidak boleh duduk diam. Dia tidak mengendahkan arahan ibu bapa atau gurunya dan menunjukan kedegilanya serta susah dikawal dan displinkan. Oleh itu, kanak -kanak hiperaktif sering mengalami masalah pembelajaran di sekolah kerana tabiatnya yang suka merayau -merayau, tidak boleh duduk di tempatnya dan tidak mendengar arahan guru.
Adakalanya , kanak -kanak hiperaktif juga mempamerkan ciri -ciri perkembangan bahasa yang lambat. Kesemuanya ini akan menyebabkan dia tidak digemari oleh kanak -kanak lain dan dia sering berasa terasing. Kanak -kanak yang sebegini sering menyulitkan gurunya yang kebiasaannya terpaksa menjaga 40 orang murid dalam satu kelas. Dia tidak boleh memberikan perhatian yang khusus pada murid ini sahaja. Bagi masalah Rafizh sebaliknya di mana dia tidak seharusnya dicampuradukkan dengan murid yang hiperaktif ini, kerana dia akan menjadi salah seorang murid yang tidak diberikan perhatian.

6. Faktor Pemakanan

Pakar kanak -kanak telah lama mengetahui bahawa ada bahan -bahan makanan tertentu yang boleh menyebabkan perubahan pada tingkah laku kanak -kanak. Kanak -kanak mungkin menjadi lebih resah hiperaktif , lebih buas dan tidak boleh menumpukan perhatian. Oleh itu , penilaian tidak lengkap jika riwayat pemakanan kanak -kanak tersebut tidak diambil dengan teliti. Ini penting terutamanya jika pakar mengesyaki kemungkinan tingkah laku yang abnormal itu disebabkan oleh sesuatu bahan yang dimakan.
Walau bagaimanapun , dalam kes Mohd Rafizh dia tidak hiperaktif tetapi mungkin pemakanan ini memainkan peranan penting dalam perkembangan minda kanak-kanak tersebut. Makanan seperti kekacang, buah-buahan sangat penting untuk pembesaran tetapi Mohd Rafizh hanya makan sayuran kampung yang mungkin tidak elok untuk tumbesarannya.


Cadangan bagi mengatasi masalah pembelajaran
Beberapa cadangan yang difikirkan perlu bagi meningkatkan prestasi pengajaran dan potensi pembelajaran murid untuk meningkatkan kemahiran membaca dan menulis murid sekolah rendah di luar bandar antaranya, iaitu pengajaran asas kemahiran membaca dan menulis seharusnya diberikan penekanan yang serius agar murid dapat menguasainya. Pengajaran Bahasa Melayu seharusnya disampaikan dalam pendekatan yang lebih menarik dengan kepelbagaian bahan bantu mengajar serta kaedah pengajaran yang menarik dan mampu memperkembang lagi keupayaan kemahiran membaca dan menulis murid. Kepelbagai kaedah dapat membentuk murid tidak cepat bosan dan penat semasa proses pembelajaran berlaku di dalam bilik darjah.

Selain itu, penggunaan bahan bantu mengajar yang menarik, bersesuaian dengan tahap kebolehan perkembangan intelek murid semasa merencanakan isi pelajaran dapat merangsangkan minat murid dan bermotivasi untuk terus belajar. Bahan bantu mengajar hendaklah digunakan secara optimum dalam pembelajaran agar menghasilkan pembelajaran bermakna dan meninggalkan kesan positif dalam diri murid. Menurut Muhamad Hasan (2000), penggunaan media bertujuan untuk memudahkan guru dan murid berinteraksi atau perhubungan dua hala yang dapat menarik minat penerima untuk bertindak balas. Usaha yang berterusan pihak pengurusan sekolah seharusnya konsistendengan memberi maklumat dan input tentang keperluan khas murid-murid lembam menguasai kemahiran membaca dan menulis. Selain itu, ujian pencapaian murid mempunyai had tempoh masa dan dijalankan secara sistematik bagi menilai keberkesanan pencapaian pengajaran dan pembelajaran murid-murid lembam.

Persepsi guru tentang imej murid lembam yang memerlukan bantuan pemulihan seharusnya positif dan mempunyai kesedaran bahawa mereka seharusnya dilayan secara saksama dan berpotensi untuk berjaya sama seperti rakan mereka yang beruntung.  rakan mereka yang beruntung. Tambahan lagi, kesabaran serta ketekunan guru amatlah penting bagi membentuk amalan membantu murid yang lembam untuk berjaya. Akhirnya, KPM perlu mengadakan lebih banyak kursus khas kepada guru-guru yang terlibat dalam permasalahan kemahiran membaca dan menulis. Selain itu, penerbitan teks panduan guru pemulihan bertujuan memberikan input tentang kaedah pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan murid lembam bagi meningkatkan kemahiran membaca dan menulis.

Kanak-kanak yang terencat akal mundur dalam pelajarannya kerana  kebolehan berfikir, tumpuan perhatian, perkembangan bahasa, pengamatan dan keupayaannya memproses maklumat adalah lambat dibandingkan dengan kanak-kanak biasa yang sebaya dengannya.  Kanak-kanak berusia sembilan tahun yang mempunyai tahap intelek (IQ) setaraf dengan kanak-kanak lima tahun lazimnya masih sukar mengenal huruf. Kebolehannya sama ada dari segi penguasan bahasa, keupayaan menjalani aktiviti-aktiviti harian atau pun kemahiran sosial akan hanya setaraf dengan kanak-kanak yang berusia lima tahun.

Oleh itu, dia akan mendapati sukar untuk mengikut kurikulum didalam darjah satu. Kita perlu mengasingkan kanak-kanak normal yang mengalami masalah pembelajaran dengan kanak-kanak terencat akal yang  mengalami masalah yang sama. Ini boleh ditentukan melalui ujian IQ. Kanak-kanak mengalami masalah pembelajaran berbeza diantara satu dengan lain dari segi kekuatan dan kelemahan yan dimilikinya. Oleh itu, pendidikan khas yang diberikan pada seseorang kanak-kanak itu perlulah diindividukan berasaskan pada kekuatan dan kelemahan tersebut.

Selain itu, ada beberapa cara lain untuk membantu murid -murid sekolah yang masih tidak boleh membaca. Kanak -kanak kurang motivasi untuk belajar mungkin dipengaruhi oleh suasana di rumahnya. Ibu bapanya mungkin kurang memberikan perhatian atau tiada siapa yang mendisplinkan atau menggalakannya mentelaah buku -buku pelajaranya. Keadaan ini perlu diperbaiki. Kanak -kanak  ini boleh mendapat manfaat daripada kaunseling dan bimbingan yang diberikan oleh guru -guru yang berpengalaman.

Minat membaca amat penting ditanamkan dalam diri si anak itu sebelum dia bersedia untuk membaca. Membacakan buku-buku cerita atau menggunakan teknik flash -cards boleh mendatangkan minat membaca kepadak anak -kanak berkenaan. Melihat orang lain membaca atau melawat ke kedai -kedai buku juga digalakkan. Galakkan si anak mengeja dan menyebut perkataan tetapi jangan gunakan paksaan. Benarkan dia mencoteng dalam buku atau kertas -kertas kosong. Sesekali cabar dia meniru huruf atau perkataan. Layanilah dia jika dia bertanya sesuatu perkataan yang tertulis.


Penutup
Masalah membaca memberikan kesan yang tidak baik terhadap pencapaian individu dalam pembelajaran. Ketidakbolehan membaca juga boleh memberikan kesan psikologi kepada individu berkenaan, sehingga mereka kurang dapat memajukan diri sendiri sekiranya mereka memiliki kebolehan membaca yang baik. Mengikut Md. Daud (2005), terdapat ramai murid yang tidak mampu bertutur dengan baik semasa mereka menyampaikan idea, pendapat dan sebagainya.
Membaca dan memahami merupakan suatu proses yang perlu dilakukan secara serentak. Kegagalan murid membaca dan memahami teks terutamanya pada peringkat Tahun 1 menunjukkan kegagalan murid mengurusi fungsi mental tertinggi (ZPT) bagi menguasai sesuatu kemahiran (Vygotsky 1935). Justeru, guru harus memainkan peranan dengan memberikan bantuan mengikut tahap-tahap yang diperlukan oleh murid intervensi tersebut.

Fenomena di atas memberikan gambaran kepada kita bahawa guru-guru perlu mengaplikasikan konsep psikolinguistik dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran membaca dan memahami terhadap murid-murid LINUS ini. Seperti yang dinyatakan oleh Mengantar Simanjuntak (1982), bahawa masalah pengajaran dan pembelajaran bahasa sebenarnya adalah masalah psikolinguistik. Malah Ahmad Foad Hashim (1989), dalam Abdul Aziz Talib (1989), turut mengatakan bahawa jika guru ingin pengajaran dan pembelajaran membaca menjadi berjaya dan berkesan, maka perkara itu perlulah bersandar kepada teori linguistik yang mampu menerangkan sesuatu takrif bahasa, asal usulnya, cara bekerja dan cara bagaimana sesuatu bahasa itu terhasil dan dapat difahami.

Murid yang menghadapi masalah membaca ini juga didapati berhadapan dengan masalah untuk menguasai mata pelajaran lain selain Bahasa Melayu. Akibat daripada kelemahan menguasai kemahiran membaca ini, pencapaian mereka terhadap mata- mata pelajaran lain seperti Matematik, Bahasa Inggeris, dan Sains. 

Refleksi 
Saya membuat refleksi ini berdasarkan analisi SWOT di mana, kekuatan yang saya dan Siti Robiani dapat dari kajian ini ialah guru-guru dan pihak sekolah saling memberi kerjasama yang baik. Di samping itu, kekuatan lainnya ialah saya menghasilkan kerja kursus ini secara berkumpulan bersama dengan Siti Robiani dalam mengumpul maklumat walaupun kami berlainan Kursus. Kekuatan yang lain ialah, ibu bapa murid ialah orang kampung saya jadi mudah untuk kami mengatur masa pada petang selasa dan diawalkan tidak mengikut tarikh yang ditetapkan.
Kelemahan saya dalam menghasilkan kerja kursus ini ialah, saya tidak dapat menghuraikan dengan lebih terperinci mengikut teori yang sedia ada dan hanya berpandukan jurnal dan buku semata-mata. Selain itu, kami gagal berbuat seperti yang dirancangkan untuk berjumpa dengan ibu bapa murid pada hari rabu pagi. Peluang yang saya dapati daripada kerja kursus ini ialah mengenali masalah pembelajaran murid dengan lebih dekat. Di samping itu, saya mampu belajar beberapa kaedah pengajaran bagi murid yang menghadapi masalah ini. sekiranya saya diarahkan mengajar murid sebegini pasti saya akan memastikan saya mengenali murid dengan lebih dekat agar saya mampu membimbing murid saya dengan baik.
Berdasarkan situasi yang telah saya hadapi sepanjang membuat kerja kursus ini terdapat pelbagai cabaran yang saya dan teman saya iaitu Siti Robiani hadapi. Pertama kami kesuntukkan masa dalam mencari bahan-bahan rujukan dan masa untuk menghasilkan laporan yang baik. Berdasarkan kajian ini hanya diperuntukkan dua minggu untuk menghasilkan kerja kursus. Kesukaran untuk mendapatkan murid yang sesuai dan masa yang sesuai. Setelah mengenal pasti guru pemulihan Khas dan mendapatkan maklumat daripada dia baru kami dapat meneruskan kerja kursus ini.
Sebagai penambahbaikan saya dapat merumuskan bahawa sesuatu kemahiran hendaklah melibatkan lima elemen penting untuk meningkatkan prestasi pelajar semasa pembelajaran dan pengajaran  berjalan. Lima elemen tersebut ialah membuat kerja bertulis yang dirancang dengan baik dan membetulkan kesalahan murid semasa mereka membuat kerja bertulis tersebut. Kedua, melibatkan pergerakan murid yang terkawal kerana pergerakan memberi kesan yang baik dalam pengaliran oksijan ke otak. Otak yang menerima oksijan yang cukup memberi kecerdasan dan prestasi ingatan yang baik. ketiga, aktiviti hand-on dan mind-on. Contohnya seperti suaian kad perkataan/gambar, padanan kad perkataan/perkataan, suaian kad-kad sukukata/cantuman membina perkataan.keempat, Kolaboratif antara murid hendaklah diberi penekanan kerana kerjasama antara mereka memberi ruang belajar yang sama kepada murid-murid yang lemah dengan murid yang lebih maju. Terakhir, mempelbagaikan medium bahan bantu mengajar. Menggunakan kaedah konvensional dan bahan-bahan tersebut di aplikasikan dengan perisian komputer yang dibina sendiri bersesuaian dengan kemahiran yang diajar.


No comments:

Post a Comment

 

effa NEW entry ^_^ Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos